"Penguluran (hutang) oleh orang yang mampu (membayar) adalah kezaliman"
[Hadis Riwayat Al-Bukhari 2400 –Fathul Bari- dan Muslim 1564], tertera
dalam FB Mohd Radzi Ibrahim. Kemudian Lotfi Al-Fikri juga dalam FB pula
menambah, Imam al-Haitami mengatakan: "Orang berkemampuan tapi
menangguhkan melunas hutang dengan sengaja dikira sebagai salah satu
daripada dosa besar" [dalam al-Zawajir'an Iqtiraf al-Kabair, 1/250].
Pada asalnya, pegangan kita ialah apa yang bersandarkan Islam kita
kena sokong! Sekolah Islam, Koperasi Islam, Bank bersandarkan syariah
Islam, Takaful Islam, makanan Islam, pakaian Islam, dan segala yang
berteraskan Islam wajib kita bantu dan 'make sure' dia terus hidup.
Jangan biarkan apa-apa yang Islam itu mati kerana kita... Kerana kita tidak membayar hutang yang kita pinjam dari mereka.
Hari ini saya mendapat senaskah Berita Muslimin dari Koperasi
Muslimin Malaysia Berhad (KMMB). Koperasi ini ditubuhkan 30 tahun yang
lalu atas daya usaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Koperasi ini
mempunyai keahlian seramai 36,173 orang, dengan bilangan terkecil dari
Labuan seramai 8 orang dan yang teramai dari Selangor iaitu 9,996 ahli.
KMMB telah mengalami tunggakan hutang sehingga Mei 2011 berjumlah
RM7.4 juta. Dengan kata lain, ahli KMMB seramai 704 orang telah
berhutang dengan koperasi untuk membiayai pelbagai skim yang ditawarkan
sehingga menjangkau RM7,408,221.88. Skim pinjaman untuk pembelian
tanah/rumah merupakan peratusan tertunggak yang tertinggi.
Skim-skim lain yang disediakan oleh KMMB ialah pinjaman pembelian
peralatan, pembiayaan pembelian kereta, qardhul hasan, pembiayaan
motosikal, dan skim pinjaman untuk umrah dan ziarah.
Saya sendiri tidak pernah menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut tetapi menyokong KMMB atas dasar sebuah koperasi Islam.
Sungguhpun demikian, saya banyak mendapat keuntungan dari segi
anugerah cemerlang yang disediakan. KMMB menyediakan apa yang dipanggil
sebagai Al-Abrar; anugerah kecemerlangan UPSR, PMR, SPM, STP, first
class degree, PhD, dan tahfiz; khairat kematian; dan musibah.
Bagi Januari hingga Jun 2011, 891 permohonan Skim Al-Abrar telah
diluluskan dengan jumlah RM351,842. Kategori Khairat Kematian
mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 719 kelulusan berjumlah
RM259,550. Anugerah Cemerlang sebanyak 125 kelulusan berjumlah RM81,800
dan Musibah dengan 47 kelulusan dengan jumlah RM10,492.
Lihatlah betapa banyak koperasi telah membantu ahli mereka.
Kita perlu menyokong koperasi Islam seperti ini, dan sekarang di
Johor sudah ada Koperasi AKRAB untuk ahli IKRAM. Marilah kita sokong
institusi-institusi Islam seperti ini dan janganlah kita bebankan
pengurusan kewangan mereka dengan bebanan hutang kita!
Jika kita terperangkap dengan hutang, maka usahakanlah dengan
membayar sedikit demi sedikit. Setidak-tidaknya, ada nampak usaha dari
kita...
Kredit kepada sumber catatan
Wan Ibtisam Fikry